Pengasas Greeniekids adalah Puan Nurul Huda binti Habil, yang lebih mesra dikenali dengan namanya, Puan Nurul.
BILAKAH USAHA INI BERMULA?
Perniagaan dalam bidang pendidikan dimulakan pada akhir tahun 2004 setelah menamatkan pelajaran di Universiti Teknologi Malaysia. Ia dimulakan dengan sekolah agama swasta yang kemudiannya didaftar di bawah Jabatan Agama Islam Selangor. Kemudian, Puan Nurul mengembangkan perniagaannya dengan mewujudkan TASKA pada tahun 2010 dan TADIKA pada tahun 2011.
APAKAH YANG MENDORONG TERLIBAT DALAM PERNIAGAAN?
Untuk menghormati keinginan suami supaya tidak terlibatkan dengan kerja-kerja pengkomputeran yang memerlukan lebih masa di pejabat dan dikatakan ia lebih sesuai dengan kerja lelaki. Atas alasan ini, Puan Nurul memutuskan tidak terlibat dengan kerja yang berkaitan dengan sistem pengkomputeran di mana-mana syarikat walau pun bidang pembelajarannya di universiti ialah dalam bidang Pengurusan Sistem Maklumat (Perpustakaan). Berbekalkan pengalaman mengajar sebagai guru ganti di sekolah rendah kebangsaan beberapa kali, Puan Nurul bertekad untuk menjadikan kehidupannya lebih memberi manfaat kepada orang ramai.
KENAPA PROGRAM GREENIEKIDS INI DIWUJUDKAN?
Setelah berpengalaman mengendalikan tiga jenis institusi yang mana kanak-kanak adalah berbeza pada umur, Puan Nurul memilih keputusan yang agak berani dengan mewujudkan program modul yang dibangunkan sendiri. Program ini dikenali sebagai Program Greeniekids. Ia memfokuskan kepada kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun.
Program Greeniekids menyediakan satu platform kepada kanak-kanak untuk belajar sambil bermain di TADIKA sebagai ‘rumah keduanya’. Dalam keadaan tanpa sedar, mereka diberi sokongan dan dokongan ketika mana emak dan ayah mereka tiada di sisi.
Namun begitu, anak-anak yang dididik dengan Program Greeniekids mampu berkembang dan membesar dengan ilmu yang secukupnya. Greeniekids menekankan kepada pendidikan berteraskan 3I (Islam, Iman, dan Ihsan) untuk anak-anak Islam.
ISLAM dan IMAN menjadi teras kepada program yang dibangunkan. Pasakan teras pada jiwa anak-anak kecil yang bersih ini menjadi asas kepada pencapaian yang seterusnya. Program Greeniekids juga memfokuskan kepada pemantapan nilai-nilai IHSAN pada akhlak untuk menghasilkan satu generasi yang dapat memimpin dan mewarisi negara Malaysia.